Wednesday, January 20, 2010

KEMAHIRAN ASAS PERMAINAN HOKI

Permainan hoki mempunyai pelbagai kemahiran yang perlu dikuasai. Setiap kemahiran yang ada di dalam permainan ini mempunyai kelebihan tersendiri. Jadi, harapan kami agar pelajar dapat berusaha untuk mengusai kemahiran yang telah diajar.
Hoki juga satu permainan fizikal yang memerlukan pelbagai unsur seperti kepantasan, kelincahan, kekuatan, daya tahan, strategi dan teknikal. Ia sangat penting kerana ia memberikan kelebihan seseorang pemain itu dengan pemain yang lain. Apabila seseorang pemain itu dapat menguasai kemahiran-kemahiran tersebut, ia memberi peluang kepada meraka untuk kreativiti dan gaya individual.
Antara kemahiran-kemahiran asas yang perlu dikuasai oleh setiap pemain ialah menggelecek, memukul, menolak, dan menerima atau menahan bola.

1.Menggelecek
Menggelecek adalah kemahiran yang penting. Kemahiran ini perlu dikuasai untuk membawa bola, melepaskan diri daripada pemain lawan, mengekalkan pemilikan bola, menukar arah, dan sebagainya. Terdapat tiga cara menggelecek, iaitu menggelecek longgar, menggelecek rapat, dan menggelecek ‘Indian’(Indian Dribble).
Kedudukan kaki yang betul semasa menggelecek bola cara Indian dribble

Cara memegang kayu yang betul semasa indian dribble.

2. Memukul
Memukul juga kemahiran asas dalam permainan hoki yang perlu dikuasai oleh setiap pemain. Kelebihan kemahiran memukul ini adalah membolehkan bola bergerak dengan cepat dan jauh. Ketepatan semasa memukul bola adalah sangat penting, supaya bola tidak tersasar ke arah lain.

kedudukan yang betul semasa memukul bola statik.Pastikan kayu dipegang dengan kemas.

Pastikan pemain fokus pada bola semasa hendak memukul bola. Pegangan dan hayunan kayu yang betul juga dapat menghasilkan pukulan yang kuat.

3. Menolak
Kemahiran menolak adalah berlainan dengan kemahiran memukul, walaupun tugasnya sama seperti kemahiran memukul. Antara perbezaan ketara jika dibandingkan dengan kemahiran memukul ialah kemahiran menolak tidak memerlukan hayunan kayu hoki dan kuasa atau tekanan yang dikenakan kepada bola adalah berlainan. Kebiasaannya tiada bunyi ketukan terhasil dari tolakan bola.

Kedudukan atau postur sedia untuk menolak bola

Teknik yang betul ketika menolak bola, hasilnya pasti meletup

4. Menerima dan menahan bola
Kemahiran menerima atau menahan bola juga salah satu kemahiran yang sangat penting dan perlu dikuasai oleh pemain. Kemahiran ini digunakan untuk menerima bola yang dihantar dari rakan sepasukan supaya kedudukan atau pemilikan bola masih berada dalam kawalan pasukan sendiri, tidak jatuh ke pasukan lawan. Kedudukan semasa menerima atau menahan bola boleh dilakukan semasa berada dalam kedudukan statik ataupun sedang bergerak.

cara yang betul untuk menahan bola tinggi.

* Kesalahan yang kerap dilakukan

Terdapat beberapa kesalahan yang sering dilakukan oleh pemain atau pelajar semasa menggunakan kemahiran memukul ini. Apabila kesalahan dilakukan ia menyebabkan kesan yang negatif dan tidak diingini. contoh bola tidak sampai ke penerima, arah bola berlainan, dan bola keluar dari kawasan permainan atau jatuh ke pihak lawan.
Antara kesalahan yang sering dilakukan ialah:
i. Pegangan pada pemegang kayu hoki tidak kuat. Pegangan yang longgar menyebabkan kontek bola dengan kayu hoki tidak kuat dan bola tidak pergi jauh.

ii. Pegangan tangan yang terlalu dekat dengan hujung kayu hoki. Pegangan yang terlalu dekat menjadikan ayunan kayu hoki tidak terlalu kuat.

iii. Lajaran diberhentikan semasa memukul bola. Ini menyebabkan kuasa ayunan tersebut sedikit berkurangan.

iv. Bukaan kaki yang tidak sesuai menyebabkan kehilangan keseimbangan ketika hendak memukul bola.

v. Bahu tidak menunju ke arah sasaran bola yang hendak dipukul.


Semoga pelajar atau pemain dapat mengenalpasti dan memperbaiki kesilapan yang telah dilakukan dalam mengusai kemahiran.

Sunday, January 17, 2010

LATIHAN INTENSIF UNTUK PEMAIN HOKI PEREMPUAN

Latihan tambahan atau intensif untuk pemain hoki perempuan akan diadakan pada setiap hari Jumaat bermula jam 2.30 petang hingga 4.30. Latihan ini diadakan untuk memberi pendedahan dan latih tubi bagi meningkatkan prestasi kemahiran dalam hoki. Harap pelajar yang terlibat dapat meghadirkan diri. Terima kasih atas kerjasama yang telah diberikan.

Monday, January 11, 2010

LATIHAN PASUKAN HOKI SMKBPJ (A)

Latihan hoki pasukan sekolah akan dijalankan setiap hari Khamis jam 2.45ptg-5.00 ptg. Harap semua pelajar yang terlibat dapat hadirkan diri untuk sesi latihan. Sila pakai pakaian sukan sekolah semasa sesi latihan. Latihan akan diadakan dikendalikan oleh En. Nawi dan Pn. Zaikiah. Pelajar yang berminat untuk menjalani latihan juga dialu-alukan. Segala perancangan latihan telah dibuat. persediaan awal ini diadakan sebagai langkah pertama untuk perlawanan hoki 3 penjuru yang kan diadakan pada awal bulan Febuari 2010. Selain itu juga sekolah kita telah dipilih untuk menjadi tuan rumah untuk MSSD. Diharapkan pelajar dapat berusaha berlatih bersungguh-sungguh bagi memenangi kejohanan ini.. caiyok caiyok..

Pasukan kelab hoki memanaskan badan sebelum memulakan latihan.

Bersemangat.. Cikgu Nawi selaku jurulatih sekolah memberikan tunjuk ajar dan teknik yang betul untuk bermain hoki.

Pemain hoki sekolah tekun dan bersedia mendengar arahan untuk latihan.

Latihan asas menolak bola.(Latih tubi)

Cara memegang kayu hoki yang betul boleh menghasilkan pukulan yang kuat.